Sunday, November 1, 2009

Seramik SARAWAK





TINGGALAN SEJARAH SERAMIK DI SARAWAK

SERAMIK SARAWAK
Delta Sungai Sarawak merupakan tapak utama di mana ribuan serpihan seramik telah ditemui dan digali semenjak 1948. Kebanyakkannya bertarikh antara kurun ke 11 hinggalah 13 Masehi. Serpihan ini dipercayai berasal dari negara China dan sebahagiannya dari Thailand, Vietnam, Jepun dan Eropah. Penemuan seramik membuktikan bahawa bahagian persisiran pantai dahulunya merupakan pusat perdagangan yang penting seawal kurun ke 11 Masehi di mana para pedagang dari China, India dan negara-negara jiran mulai tiba di Borneo. Champor, lilin lebah, sarang burung dan barangan eksotik yang lain didagangkan untuk mendapatkan tekstil, manik, seramik dan barangan loyang.Seramik terawal yang dijumpai dan digali adalah daripada bahagian barat mulut Gua Niah. Seramik-seramik ini berupa tempayan atau bekas yang tidak berukir, botol dan bekas yang berbentuk bundar. Kesemua barangan tembikar ini kasar buatannya, diperbuat menggunakan tangan, keras dan dibakar dengan api sederhana. Menurut kajian oleh Barbarra Harrison, kebanyakkan bekas seramik ini ada kaitan dengan upacara pengebumian neolitik iaitu sebagai bekas untuk pembakaran mayat ataupun sebagai cenderamata pengebumian.

Adalah menjadi tradisi lama komuniti Melanau sekiranya salah seorang daripada mereka meninggal dunia, simati akan diberikan pakaian dan dibaringkan di ruangan rumah. Satu pinggan biru dan putih diletak di bawah kepalanya, sementara pinggan seramik diletakkan di bawah kedua-dua tangan dan kakinya. Berhampiran dengan si mati diletakkan objek-objek tembaga dan seutas manik purba diikat pada pergelangan tangan mayat. Beberapa hari kemudian, mayat tersebut dibawa keluar daripada rumah itu dan disimpan di ruang khas untuk jangkamasa yang minimum dalam tahun yang sama. .
Kemudian tulang-tulangnya dikumpulkan ke dalam sebuah tempayan besar. Manakala yang lain seperti pinggan, mangkuk dan manik dikebumikan bersama-sama dengan tempayan tersebut.

Kesemua artifak hasil penggalian merupakan sumber pembelajaran yang amat berguna di Muzium Sarawak. Artifak-artifak tersebut diklasifikasikan kepada 9 kelas utama berdasarkan warna sepuh/glasir dan teksturnya.

Tembikar putih: Kebanyakan serpihan-serpihan berwarna putih seakan-akan kelabu-putih kepada hijau-putih dalam kebanyakkan kes termasuk Ch'ing-pai, Ying-ch'ing dan "Marco Polo ware"

Tembikar Yueh: Serpihan-serpihan berwarna hijau lembut kepada biru atau kelabu-hijau yang seakan-akan bekas Yueh seperti yang dijelaskan oleh Gompertz

Celadon: Serpihan-serpihan seperti warna pekat zaitun kepada biru-hijau yang dikaitkan dengan dinasti Sung Lung-ch'uan kilns

Temmoku: serpihan-serpihan daripada mangkuk dengan warna coklat tua ataupun biru-gelap yang sering disebut sebagai 'temmoku' dan seperti mangkuk Chin-yao daripada Fukien

Tembikar hijau-berglasir : serpihan-serpihan berglasir dengan warna yang terang dan mengandungi plumbum

Tembikar T'zu: serpihan-serpihan yang biasanya dipanggil T'zu Chou, bercorak gelap dan/atau dicorakkan dengan tanah liat yang sedikit cair pada asas yang tiada bercorak ataupun berwarna hijau-gelap

Tembikar batu yang kasar: termasuklah serpihan batu yang kasar terdiri daripada yang kecil sehinggalah yang besar

Tembikar Siam: kebanyakkan serpihan-serpihan pinggan-mangkuk Sawankhalok celadon bercorak ukiran halus berglasir berasaskan sedikit warna merah-coklat pada tapaknya

Tembikar biru dan putih: serpihan-serpihan berglasir berwarna kebiruan lutsinar yang beralun dan mengandungi corak-corak kabur yang halus seakan-akan buih-buih. Manakala asasnya berwarna kelabu-keputihan porselin yang lutsinar.

Sepanjang kurun yang lepas, berdasarkan hasil penemuan tembikar seramik di kawasan berhampiran Sungai Sarawak, menjadi bukti yang kukuh menunjukkan bahawa penduduk asli Sarawak telah membuat tembikar sendiri untuk kegunaan domestik. Aktiviti ini secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan industri seni pembuatan tembikar.Koleksi tembikar ini telah diletakkan untuk pameran di Dewan Tun Abdul Razak. Koleksi tersebut merupakan tarikan utama penduduk tempatan dan pelancong asing. Oleh kerana sambutan yang amat menggalakkan, katalog koleksi tersebut dan seramik tempatan telah dijual di kedai muzium.

No comments:

Post a Comment